Bismillahirrahmnirrahim..
ALLAHU ALLAH..
Dunia ini sedang bersedih. Peristiwa besar dan hiba berlaku satu persatu. Merenggut semangat dan sanubari umat manusia. Dalam satu hari, beritanya menimpa-nimpa. Sungguh, berat rasa hati ini.
Di saat ini, urusan dan hal peribadi semua ditolak ketepi. Ada yang lebih perlu untuk diberi perhatian dan sokongan.
Di waktu senja, menerima perkhabaran duka bilamana keputusan mahkamah yang penuh kucar-kacir telah menjatuhkan hukuman mati kepada penyokong-penyokong Presiden Mursi di Kota Seribu Menara. Ia buat semua terkedu. Atas kesalahan apa mereka dihukum sebegitu rupa? Ya, mereka tinggal nun jauh di sana. Malah ada antara kita tidak mengambil tahu dengan jelas apa yang berlaku. Tidak disoroti peristiwa-peristiwa yang tiba-tiba hari ini menemui jalan duka. Duka mereka telah lama, tapi ini penamat episod pertama. Tak mustahil dukanya akan berpanjangan dan makin menghenyak perasaan. Namun, Insyaallah masih ada harapan. Umat perlu lebih ambil tahu dan berusaha sehabis mahu. Andai tak mampu ke sana membantu, sekurang-kurangnya gunakan apa yang ada di sini untuk kita hulur dan bangun bersama atas nama agama, Insyaallah. Paling tidak, tembakan doa untuk mereka jangan pernah lupa.
Bila malam menjelma, seluruh rakyat Malaysia bahkan di seluruh dunia menanti dengan sabar pengumuman penting yang dibuat Perdana Menteri kita. Mengenai pesawat yang hilangnya tiba-tiba, dan kepulangannya dinanti sekian lama. Dan akhirnya segala spekulasi telah dirungkai dan ditamatkan. Berakhirnya perjalanan kapal terbang itu di lautan yang sayup, ganas dan terpencil, nun di Lautan Hindi sana. Kelu seribu bahasa. Kaum keluarga terjelepok menerima khabar berita. Masyarakat dunia kemerah-merahan mata. Sayu tak terkata.
Hey Si Sensitif!
Ya, itu anda. Dan, bagus anda memakai title itu. Ini masanya menjadi Si Sensitif. Sensitif yang melambangkan seorang yang cakna dengan segalanya. Ambil tahu. Sensitif juga dengan sekeliling. Saat semua berduka, Si Sensitif tak terus-terusan melaungkan ideologi yang entah apa-apa. Si Sensitif menjaga hati-hati insan lain yang berduka. Si Sensitif terus berdoa untuk kekuatan sesiapa saja yang terlibat dengan segala bencana. Si Sensitif tidak gopoh mengolah berita. Si Sensitif juga bukan pendesak media dan arus semasa, semata-mata untuk mendapatkan maklumat yang ingin diketahui olehnya.
Itulah Si Sensitif yang berakhlak mulia.
Moga kitalah Si Sensitif yang dikata. Insyaallah..
Wallahualam..
No comments:
Post a Comment