Friday, December 20, 2013

Aku sombong.. Maafkan aku..

Bismillahirrahmanirrahim..

Saya terpaksa publishkan post sebegini. Ia bersifat agak peribadi. Namun ada sesuatu yang memerlukannya di sini. Sesuatu untuk ditegaskan tentang prinsip diri.
Sering sangat saya disapa, bertanya soal pasangan hidup. Persoalan yang tak pernah sudah. Tidak, ini bukan perasan. Ini betul-betul.
Saya sebenarnya tak kisah. Itu hak anda. Tapi saya jadi kisah bila saya menerima gelaran tak sepatutnya.

Ada yang datang bertanya,
"Dah berpunya?"
"Nak berkenalan boleh?"
"Sudi jadi yang halal untuk saya?"

ALLAH.. ALLAH..
Setiap satu soalan itu besar makna yang dibawa. Jangan dengan terlalu mudah dilafazkan. Satu lagi, saya tak memiliki diri saya. Saya milik ALLAH sepenuhnya. Dan ALLAH menetapkan ibu bapa saya sebagai penjaga amanah, menjaga saya di dunia. Saya kepunyaan mereka sehingga tiba waktu yang selayaknya. Sehingga waktu bertukar pemilik tiba. Insyaallah.

Tak kurang juga bila saya mula berdiam diri, menjauh dari beberapa lelaki, saya pula menerima gelaran yang bukan-bukan. Sombong. Jumud. Bajet.
ALLAH. Saya terasa. Sungguh-sungguh terasa. Salahkah saya? Saya jadi begitu kerana apa? Kerana saya yakin, jika saya melayan, gelaran lain pula akan saya terima. Tak mustahil, malah pasti. Dan, saya yakin juga saya tidak punya kebenaran dari DIA untuk melayan kalian seperti yang kalian harapkan. Jangan samakan diri kalian dengan kawan-kawan lelaki saya yang lain. Layanan saya pada mereka neutral dan sebatasnya, kerana tak ada 'perasaan' yang terlibat sama.

Di sudut lain pula, ada yang menyanggah tindakan saya. Katanya, jodoh tak datang kalau tak usaha. Betul tu. Saya setuju dan sangat-sangat setuju. Saya juga sedang berusaha. Cuma cara usahanya begini. Saya berusaha menjadi seorang yang lebih baik dari semasa ke semasa, berusaha menuntut ilmu dunia dan akhirat, berusaha menutup lubang-lubang fitnah dunia juga. Itu usaha saya. Saya hargai insan-insan yang hadir memulakan langkah. Kalian memang berani dan nampak kesungguhannya. Cuma cara 'approach' kalian lebih membuat saya terkedu dan diam seribu bahasa. Sudahnya, kalian sendiri anggap saya sombong dan memilih tak kena cara. Apa boleh buat? Saya mampu senyum sahaja.

Mintalah pada pemegang amanahNYA. Baik untuk mereka, Insyaallah baik juga untuk saya. Kalau mereka tak suka dan menyuruh saya jauhi seseorang, saya sebagai anak tanpa membantah akan ikut saja. Kerana itu tanggungjawab anak pada ibu bapa. Atau jika tiada cara mendampingi ibu bapa saya, gunalah orang perantara. Sungguh saya malu dan kelu di 'approach' secara terus sebegitu. Kalian faham kan sifat wanita? Itu sahaja saya mampu kata. Jangan ragu aturanNYA, jika kena caranya, tepat masanya, betul orangnya, DIA akan satukan jua.

Maaf pada semua yang terasa dengan tindakan saya. Harap post ni menjernihkan semula semuanya. Insyaallah. Siapa tak mahu memikirkan soal itu. Ya, ada juga yang mencadangkan agar saya memulakan langkah. Tak salah katanya. Betul tu. Tapi, ketahuilah malu saya lebih tebal dari mahu.

Wallahualam.
Maaf post penuh emosi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...